Di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal, semua murid dapat anugerah

©Mkini Dotcom Sdn Bhd

Lazimnya hanya pelajar tertentu menerima anugerah kecemerlangan namun kali ini berbeza apabila sebuah sekolah di sini meraikan kesemua pelajarnya berdasarkan penilaian pelbagai kategori.

Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal mencipta sejarah tersendiri apabila pihak pengurusan memastikan kesemua murid merasakan diri mereka dihargai meskipun ada yang tidak menyerlah dalam akademik.

Guru Besar SK Tok Jembal, Aznordin Jahan berkata idea untuk memberi semua murid hadiah sempena Hari Anugerah Kemenjadian Murid 2019 hari ini timbul setelah melihat data murid melalui bakat masing-masing termasuk bidang sukan, kokurikulum serta sahsiah diri yang baik.

"Pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersetuju untuk meraikan semua murid tanpa sebarang perbezaan agar boleh membakar semangat mereka untuk terus cemerlang pada masa depan.

"Kami berusaha mendapatkan dana melalui sumbangan ibu bapa, guru dan syarikat korporat yang berada di sekitar sekolah ini dan mereka juga menyokong usaha ini seterusnya berjaya merealisasikan hasrat kami untuk memberi hadiah kepada 681 murid dalam majlis ini," katanya kepadaBernama selepas majlis itu.

Hadiah diberi melalui dua kategori iaitu cemerlang dan menguasai kemahiran asas untuk akademik serta beberapa anugerah khas seperti Tokoh Nilam, Terbaik Disiplin, Terbaik Kurikulum, Terbaik Sahsiah dan Tokoh Murid.

Tinjauan Bernama di sekolah tersebut mendapati semua murid tersenyum gembira dan teruja apabila berpeluang naik ke pentas untuk mengambil hadiah seterusnya mengambil gambar berkumpulan mengikut kelas masing-masing.

Ibu bapa pula dilihat begitu sabar menunggu sehingga majlis tersebut habis dan mengambil kesempatan untuk merakam gambar kenangan dengan memakai jubah konvokesyen di dua ruang untuk bergambar yang disediakan pihak sekolah.

Bagi Ariza Ibrahim, 54, inisiatif yang diambil pihak sekolah itu wajar dipuji dan mendapat sokongan padu semua ibu bapa kerana tiada anak yang berasa tersisih tatkala melihat rakan lain diraikan di majlis anugerah.

"Murid ini masih kecil dan perjalanan hidup mereka masih panjang. Seharusnya kita yang dewasa ini memberi sokongan, pujian dan mengiktiraf bakat mereka. Tidak semestinya lemah dalam akademik di sekolah mereka gagal dalam kehidupan.

"Galakan berterusan yang diberi dari zaman persekolahan ini akan membentuk mereka menjadi generasi yang lebih cemerlang mengikut acuan bakat tersendiri pada masa depan," katanya.

Bagi murid Tahun Enam, Fadhlin Izzah Fazli dan pasangan kembarnya, Farhanah Izzah pula, detik melangkah menaiki pentas untuk menerima hadiah pada majlis itu adalah antara saat manis buat mereka di akhir persekolahan.

"Kami sentiasa melakukan aktiviti bersama-sama macam ulang kaji pelajaran dan beriadah, jadi hari ni, kami sama-sama juga naik ke pentas dan ambil gambar… memang seronok sangat bila semua kawan-kawan pun diraikan sekali," katanya yang memperolehi 4A 2B dalam percubaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang lepas.

Sepasang lagi kembar Tahun Enam iaitu Wardah Safiyyah dan Nur Wirda Safiyyah Mohd Zulkifli juga berkongsi pendapat kerana bagi mereka tiada istilah gagal atau berjaya akademik di peringkat sekolah rendah sebaliknya semua murid perlu dihargai mengikut bakat dan potensi tersendiri.

\- Bernama