Ramai salah faham isu basikal lajak, kata Syed Saddiq

©Mkini Dotcom Sdn Bhd

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mendakwa pendiriannya mengenai remaja dan isu basikal lajak disalah faham sebagai menggalakkan mereka supaya terus melakukan kegiatan berkenaan.

Kata Syed Saddiq, beliau tidak pernah menyokong aktiviti basikal lajak yang boleh mengancam keselamatan itu, sebaliknya hanya ingin membimbing mereka.

"Saya rasa ada banyak salah faham, pertama kita perlu bimbing bukan cepat hukum. Bimbing, bukan bermakna kita galakan mereka untuk menunggang basikal lajak, tapi turun padang jumpa mereka dan ibu bapa mereka.

"Juga berikan insentif supaya mereka dapat menyertai institusi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Sebab itu kita ada laluan khas, biar belia berisiko diletakkan dalam institusi seperti pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET)," katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani penajaan FWD Takaful Bhd (FWD) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif FWD, Salim Majid Zain dan Ketua Pengarah MSN, Ahmad Shapawi Ismail.

Sebelum ini, Syed Saddiq mengundang perhatian ramai apabila memuat naik kenyataan bahawa KBS akan membimbing anak muda yang terbabit dengan basikal lajak.

Tajaan sangat bermakna

Anggota Parlimen Muar itu menegaskan langkah diambil kementeriannya dalam menangani isu basikal lajak bertujuan membantu golongan remaja yang terjebak dengan masalah itu.

"Saya dikutuk kerana mengambil pendirian untuk membimbing dan bukan menghukum.

"Dari terus menghina mereka, saya pilih untuk melatih mereka dengan pendidikan TVET.

"Segelintir daripada kita suka menghukum dan gagal untuk membimbing. Mereka perlukan bantuan kita semua.

"Mereka ini tanggungjawab kita bersama," katanya dalam kenyataan di Facebook pada 7 Nov lalu.

Sementara itu mengulas isu penajaan FWD untuk atlet paralimpik negara, Syed Saddiq berkata ia merupakan jumlah paling besar diterima KBS setakat ini.

Syed Saddiq di majlis penyerahan tajaan FWD Takaful di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya FWD mengeluarkan tajaan sebanyak RM5 juta sebagai sebahagian dariipada persiapa atlet paralimpik negara menghadapi kejohanan dunia di Tokyo tahun hadapan.

"Ia penajaan yang paling besar bagi atlet luar biasa kita, ia sebagai persiapan bagi menghadapi kejohan di Tokyo tahun depan.

"Ia sangat bermakna kerana mereka memilih untuk menaja atlet luar biasa kita," katanya.

Mengulas mengenai kemerosotan prestasi atlet paralimpik Syed Saddiq berkata, beliau yakin mereka akan kembali mencapai tahap prestasi terbaik sebelum ini.

Katanya, atlet berkenaan mempunyai masa sembilan bulan untuk memperbaiki prestasi sebelum menghadapi temasya di Tokyo itu.