Arul Kanda bantah notis Najib tangguh bicara kes pinda laporan audit

©Mkini Dotcom Sdn Bhd

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda membantah tindakan bekas perdana menteri Najib Razak yang cuba menangguhkan perbicaraan kes meminda laporan akhir pengauditan 1MDB yang dijadualkan pada Isnin ini.

Peguam Arul Kanda, M Sivananthan memberitahu hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan bahawa anak guamnya mahu perbicaraan dteruskan kerana Arul Kanda mahu segera membersihkan namanya.

Hari ini ditetapkan sebagai tarikh untuk mendengar permohonan Najib yang cuba menangguhkan pendengaran perkara yang ditetapkan itu.

M Sivananthan

Peguam bekas perdana menteri Harvinderjit Singh mengemukakan alasan bahawa kliennya meminta penangguhan untuk membuat persediaan membela diri terhadap pertuduhan lain yang dihadapinya iaitu menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (kes SRC) pada 3 Disember ini.

Harvinderjit berkata Najib memohon untuk menangguhkan kes pinda laporan audit 1MDB itu hingga Januari tahun depan.

Harvinderjit Singh

Najib hari ini dibenarkan oleh Zaini untuk dikecualikan daripada menghadiri prosiding terbuka.

Difahamkan Najib sedang membantu BN dalam kempen pembangkang yang cuba merampai kerusi parlimen Tanjung Piai, dalam pilihan raya kecil, esok.

Pada 12 Dis 2018, Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau dituduh sebagai seorang pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib Razak

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Febi 2016 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 43, pula didakwa bersubahat dengan Najib, 66, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.