Kanak-kanak tercampak keluar dari kereta ke tengah lebuh raya

©Mkini Dotcom Sdn Bhd

Gara-gara dua kereta dipercayai berlumba di lebuh raya, seorang kanak-kanak tercampak dan bernasib baik tidak digilis kenderaan lain dalam kejadian di KM235.5 Lebuh Raya Senawang - Ayer Keroh arah utara petang tadi.

Menurut polis dua kereta itu membabitkan Perodua Myvi dan Honda Jazz.

Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka yang tular di media sosial hari ini, kedua-dua kereta terbabit dilihat dipandu secara berbahaya ketika banyak kenderaan lain ada di laluan berkenaan.

Pada satu ketika salah satu kereta itu menukar lorong dari kiri ke kanan secara mendadak sehingga menghimpit sebuah kereta Honda Civic yang kebetulan berada di situ.

Pelanggaran itu menyebabkan pemandu Honda Civic terbabit terbabas dan melanggar besi penghadang jalan. Kesan hentakan itu dipercayai menyebabkan seorang kanak-kanak di dalam kereta terbabit tercampak ke laluan kanan lebuh raya berkenaan.

Bagaimanapun dia bernasib baik apabila kereta lain sempat membrek dan kanak-kanak itu segera diangkat ke tepi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Supt Ibrahim Abd Kadir, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.20 petang.

Katanya, selepas melanggar penghadang jalan, kereta Honda Civic itu juga merempuh belakang kereta jenis Perodua Myvi di lorong tengah.

“Akibat pelanggaran itu, seorang penumpang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun di dalam kereta Honda Civic tercampak keluar dan terjatuh di atas lorong kanan lebuh raya.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban untuk rawatan lanjut,” katanya seperti dipetik BH Online.

Menurut Ibrahim, kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM15,000,” katanya.

Berdasarkan rakaman video yang tular, kanak-kanak berkenaan tercampak dan tertiarap di atas lebuh raya sebelum terpinga-pinga dengan kejadian berkenaan.

Seorang pemandu lori yang memberhentikan kenderaannya segera mengangkat kanak-kanak berkenaan sebelum seorang lelaki berlari dan mendukung mangsa.