Letupan di Beirut umpama satu serangan bom - Trump

©Mkini Dotcom Sdn Bhd

GLOBAL l Presiden Donald Trump berkata beliau dimaklumkan oleh jeneral tentera Amerika Syarikat (AS) letupan kuat yang menggegarkan Beirut seolah-olah sebuah letupan bom.

"Ia seperti satu serangan yang mengerikan," Trump memberitahu wartawan di Rumah Putih.

"Ia kelihatan seperti itu, berdasarkan letupan tersebut. Saya bertemu dengan beberapa jeneral kita yang hebat dan mereka juga berpendapat sama, ” katanya.

"Ini bukan sejenis kejadian letupan akibat aktiviti pembuatan. Ia kelihatan seperti, menurut mereka - mereka lebih tahu daripada saya - tetapi mereka seolah-olah menganggapnya sebagai satu serangan.

"Seperti serangan bom, ya."

Pegawai Lubnan tidak menggambarkan letupan yang menggegarkan ibu negara itu sebagai serangan.

Perdana Menteri Hassan Diab berkata 2.750 tan baja amonium nitrat yang disimpan selama bertahun-tahun dalam gudang di tepi pelabuhan Beirut telah meletup, mengakibatkan "bencana yang dahsyat."

"Apa yang berlaku hari ini tidak akan berlaku tanpa penanggungjawab," kata Diab.

"Mereka yang bertanggungjawab terhadap bencana ini akan membayar harganya."

Ketua Pengarah Keselamatan Abbas Ibrahim berkata "bahan yang sangat mudah meletup" yang telah dirampas bertahun-tahun sebelumnya telah disimpan di gudang.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh dan 3,700 cedera di seluruh bahagian bandar terbesar di negara itu.

Ditanya mengenai kenyataan Trump, jurucakap Pentagon berkata "kami tidak mempunyai maklumat untuk anda" dan "anda harus menghubungi Rumah Putih untuk mendapatkan penjelasan."

Trump menawarkan bantuan AS kepada Lubnan.

Kami berdoa untuk semua mangsa dan keluarga mereka," katanya. "Amerika Syarikat bersedia untuk membantu Lubnan."

"Kami mempunyai hubungan yang sangat baik dengan rakyat Lubnan dan kami akan berada di sana untuk membantu."

Calon presiden demokratik Joe Biden, yang telah menerima taklimat perisikan sejak bulan lalu, juga bertindak balas terhadap letupan Beirut tetapi tidak menggambarkannya sebagai satu serangan.

"Doa kami bersama-sama dengan rakyat Lubnan, dan korban letupan ngeri di Beirut," kata Biden dalam tweet.

"Saya mendesak Pentadbiran Trump dan masyarakat antarabangsa untuk segera menggerakkan bantuan kepada ribuan yang cedera dalam letupan itu," katanya.

\- Bernama