Wajibkan fasih BM untuk dapat warganegara - Pemuda Umno

Pemuda Umno menggesa kerajaan mahupun pembangkang mengadakan usul ke Parlimen bagi menggubal undang-undang untuk mewajibkan penguasaan bahasa Melayu sebagai satu syarat sebelum memperoleh kerakyatan atau kewarganegaraan Malaysia.

Ketua Pemudanya, Akmal Saleh berkata pihaknya akan menggunakan pelbagai saluran untuk memastikan usul itu dapat dibawa ke parlimen.

"Jika warga Bangladesh yang datang ke Malaysia boleh bertutur dalam bahasa Melayu, apa ertinya kita yang mengaku warganegara tetapi tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu.

"Pemuda Umno akan menggunakan pelbagai saluran untuk memastikan usul ini dapat dibawa seterusnya dijadikan satu undang-undang di negara kita," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, tular satu hantaran di laman Facebook mengenai kekecewaan seorang lelaki tidak dapat memperbaharui pasport ibunya kerana tidak boleh berbahasa Melayu di UTC Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh berkata Pegawai imigresen tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan pasport hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan.

Menurutnya, walaupun pegawai-pegawai Imigresen akan melakukan semakan rawak bagi mengesahkan maklumat tetapi proses itu perlu dilakukan secara profesional dan berhemah.

Ruslin juga memaklumkan pelanggan berkenaan telah dapat memperbaharui pasport dan mengambilnya di Pejabat UTC Pulau Pinang pada Isnin lepas.

Puji keberanian pegawai imigresen

Sebaliknya, Akmal memuji tindakan pegawai Imigresen berkenaan dan menyifatkan tindakan 'berani' itu adalah gambaran realiti sebenar yang berlaku di Malaysia.

Katanya, adalah wajar untuk pihak Imigresen bertindak demikian bagi memastikan hanya individu yang layak boleh membuat atau memperbaharui pasport.

"Walaupun tiada peruntukan undang-undang mewajibkan mana-mana warganegara perlu bertutur dalam bahasa Melayu sebagai syarat membuat pasport tetapi tindakan pegawai Imigresen itu perlu dipuji.

"Tambahan pula dengan kebanjiran warganegara asing ke negara kita, mereka perlu memastikan kesahihan iaitu hanya warganegara Malaysia sahaja yang benar-benar layak untuk membuat pasport," katanya.

© Mkini Dotcom Sdn Bhd